Monday, January 30, 2023

Cara Kembangkan Duit Untuk Ada Simpanan 1 Juta

Saya tertarik untuk kongsikan kisah seorang hamba Allah yang tidak mahu dikenali (anonymous) dari sebuah group facebook, bagaimana beliau berjaya memiliki simpanan 1 juta dengan melabur dalam ASB lebih 20 tahun. Saya begitu terinspirasi kerana beliau adalah orang kebanyakan, namun kerana kesedaran mula melabur diusia muda beserta kecekalan dan disiplin, pada Januari 2023 sudah mempunyai simpanan lebih 1 juta.
 
Saya agak umur beliau dalam 40an, tapi sudah ada 1 juta untuk persaraan.
Wow kagum! (click to enlarge)
 
Penting ke nak kena ada simpanan 1 juta?

Mungkin kita rasa macam “RM 1 juta tu banyak sangat, saya tak perlukan duit sebanyak itu”. Tapi sebenarnya, kita memang perlu ada simpanan 1 juta untuk bersara dengan selesa. Selesa jer tau, bukan hidup mewah. Mari saya tunjukkan logiknya.
 
Umur bersara : 55 tahun
Purata jangka hayat rakyat Malaysia : 75 - 80 tahun
 
Ikut guideline perlindungan Takaful, saya pilih umur 80 tahun sebagai contoh pengiraan. So, 80-55 = 25 tahun (bersamaan 300 bulan) adalah tempoh masa kita akan gunakan dana persaraan.
 
Jadi, RM1,000,000 / 300 bulan = RM 3,333 sebulan.
 
Banyak atau sikit RM3,333 sebulan tu? Bergantung dimana kita tinggal lepas bersara nanti.
 
Kalau duduk di kampung, ada duit belanja bulanan 3k bagi saya selesa. Insha Allah cukup untuk belanja dapur dan kemungkinan kos luar jangka, contoh demam nak pergi klinik. Tapi kalau tinggal di bandar tanpa ada sumber pendapatan lain, RM3333 tu mungkin cukup makan jer.
 
Jadi apa kita kena buat ni? Nak simpan duit 10K pun semput, apa lagi sejuta. Bestie, jangan pernah rasa nak mengalah. Mari saya kongsikan 3 cara untuk kembangkan duit supaya kita boleh ada simpanan persaraan yang selesa.
 

(1) Amanah Saham Bumiputra
ASB ada 2 kaedah simpanan. Cara pertama, simpan di ASB guna duit sendiri. Cara kedua, guna fasiliti pembiayaan bank (ASB financing), singkatannya ASBF. Kelebihan ASBF adalah, sebagai satu cara untuk kembangkan simpanan dengan lebih cepat.
 
Sekarang ini kita boleh mohon ASBF dari minimum RM20,000 hingga maksimum RM200,000. Amaun pinjaman ini akan ditukarkan menjadi sijil ASB, dimana amaun sijil ini akan turut dikira sekali dalam pengiraan dividen tahunan walaupun bayaran pinjaman belum selesai. Baca disini >>> berapa beza dividen kita dapat antara ASB simpan sendiri dengan ASBF.
 
Ini contoh bagaimana kita boleh menjana simpanan 1 juta dalam tempoh 33 tahun, dengan kaedah ASBF dan ASB biasa.
 
Andaian dividen ASB 5%. Pengiraan berdasarkan kalkulator kewangan.
(click to enlarge)
 
Dari jadual di atas, kita boleh lihat komitmen bulanan ASBF (RM941) adalah lebih rendah berbanding ASB biasa (RM1,014).
 
Beza amaun adalah RM1,014 - RM941 = RM 73 sebulan.
RM73 x 396 bulan = RM 28,908 kita dapat jimat dengan kaedah ASBF.
 
Tapi, ini adalah andaian sekiranya kadar faedah bank tetap pada 4.25% sepanjang tempoh 33 tahun. Hakikatnya, kadar faedah bank ASBF akan berubah mengikut perubahan OPR yang ditetapkan oleh Bank Negara.
 
Jadi, walaupun ASBF adalah cara yang lebih cepat untuk kumpulkan dividen simpanan berbanding ASB biasa, ada terselit risiko di situ. Dah nama pun pinjaman. So, ASBF hanya beri kita keuntungan jika kadar faedah bank lebih rendah daripada dividen ASB.
 
Jadi nak buat macam mana kalau kadar faedah ASBF meningkat melebihi dividen ASB?
 
Katakan faedah bank meningkat pada tahun ke-5 menyebabkan bayaran pinjaman semakin tinggi, kita ada pilihan untuk terminate ASBF dan kita akan menerima nilai serahan (surrender value). Jangan sedih kerana kita sudah mengumpul dividen ASB sebanyak RM55,256 dalam masa 5 tahun tersebut. Lepas dah terminate ASBF, teruskan saja menyimpan dalam akaun ASB secara konsisten seperti kaedah biasa tanpa pinjaman sehingga mencapai sasaran simpanan 1 juta.
 
 
(2) Melabur dalam Unit Trust
Melalui unit trust, kita boleh melabur di pelbagai syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia seperti sektor telekomunikasi, penjagaan kesihatan, barangan pengguna, hartanah dan sebagainya. Selain itu, kita juga boleh melabur di pasaran luar negara seperti Apple, Amazon, Microsoft, Alibaba dan banyak lagi syarikat besar yang kita minat untuk kembangkan duit.
 
Unit trust membolehkan kita menyertai pasaran saham dengan risiko yang lebih rendah, berbanding pelaburan langsung di Bursa Saham Malaysia atau luar negara. Jangan risau kerana ada banyak dana unit trust yang patuh shariah. Anggaran dividen unit trust juga lebih tinggi berbanding ASB dan simpanan biasa yang lain. Bagi dana unit trust kategori risiko sederhana, kita boleh anggarkan pulangan pelaburan dalam 8% ke 13% setahun.
 
Mungkin ramai yang berpendapat, melabur dalam unit trust perlukan modal puluhan/ratusan ribu. Sebenarnya, kita boleh memulakan pelaburan dengan modal serendah RM200 sebulan.
 
Risiko melabur dalam Unit Trust
 
Sesuatu pelaburan dengan potensi pulangan yang tinggi, mestilah risikonya pun tinggi juga. Itu asas dalam pelaburan kalau kita betul-betul ingin kembangkan duit. Jadi, ia kurang sesuai untuk mereka yang ingin lari dari risiko yang tinggi.
 
Sebelum melabur dalam unit trust, pastikan kita benar-benar mampu menghadapi risiko dan bersedia terutamanya dari segi kewangan. Ini kerana, banyak faktor yang mempengaruhi prestasi pelaburan unit trust, contohnya krisis politik, wabak penyakit dan lain-lain. Kita tiada kuasa untuk mengawal keputusan pelaburan. Sekiranya terjadi kerugian dalam pelaburan tersebut, maka duit yang kita laburkan juga akan berkurang.
 
Ini cadangan saya untuk diversify risiko pelaburan supaya kita boleh ada simpanan 1 juta dalam tempoh 33 tahun, iaitu pelaburan hibrid Unit Trust + ASB.
 
 
Labur di Unit Trust RM400 sebulan (risiko sederhana, anggaran pulangan 8% setahun), nilai matang RM730,563.80

Labur di ASB biasa RM280 sebulan (risiko rendah, anggaran dividen 5% setahun), nilai matang RM276,245.77

Jumlah modal pelaburan hibrid = RM680 sebulan 

Jadi kalau ada budget dalam RM700 sebulan bolehlah ikut teknik hibrid ini. Ia lebih rendah berbanding meletakkan 100% pelaburan tunai di ASB yang perlukan budget simpanan RM1,014 sebulan.
 
Walaupun melabur dalam unit trust ada risikonya, tapi dalam jangka masa panjang ia memberi pulangan yang tinggi berbanding simpanan biasa yang lain.
 
 
(3) KWSP i-Invest
Tahukah anda, kita boleh keluarkan sebahagian dari Akaun-1 KWSP untuk melabur dalam dana unit trust sebagai satu cara untuk kembangkan simpanan persaraan KWSP kita.
 
Ini formula untuk semak kelayakan amaun yang boleh kita keluarkan untuk pelaburan.
(Jumlah Akaun 1 - Basic Saving yang ditetapkan) x 30%
 
Contoh: Fiona berumur 40 tahun, Akaun-1 KWSP ada RM120,000
Basic saving yang ditetapkan oleh KWSP bagi pencarum berumur 40 tahun = RM86,000
 
Amaun yang Fiona boleh keluarkan dari Akaun-1 untuk pelaburan unit trust ialah:
(RM120,000 - RM86,000) x 30% = RM10,200
 
Dengan RM10,200 ini Fiona boleh melabur dalam unit trust yang di luluskan oleh KWSP sebelum mencapai umur 55 tahun. Konsep untung/rugi melabur dalam unit trust menggunakan Akaun-1 KWSP adalah sama seperti yang saya jelaskan dalam topik unit trust di atas. Fiona boleh menamatkan pelaburan pada bila-bila masa dan pulangan pelaburan beserta modal akan di kreditkan semula ke dalam Akaun-1 KWSP beliau.
 
 
Kesimpulan,
 
Untuk bersara selesa dengan simpanan 1 juta, kita mestilah bermula seawal yang mungkin. Seperti kata pepatah, semakin lambat kita mula, semakin curam pendakian.
 
Nak ada 1 juta pada umur 60 tahun, kena mula melabur dari umur 25 tahun.
 
Macam mana nak buat pengiraan selain guna aplikasi financial calculator?
  1. Anda boleh guna Retirement Savings Calculator ini.
  2. Initial Deposit - maksudnya berapa simpanan yang anda ada sekarang.
  3. Annual Interest Rate - maksudnya anggaran berapa dividen tahunan yang kita akan dapat. Kadar dividen tahunan ni haruslah lebih dari kadar inflasi. Anggaran kadar inflasi di Malaysia sekarang ini 3%-4%. Jadi kena simpan di tempat yang beri dividen lebih dari 4% sebagai cara kembangkan duit anda untuk lawan kadar inflasi.
  4. Years - letak jangkaan berapa tahun lagi anda nak menyimpan sambil mengaplikasikan cara-cara kembangkan duit selepas baca artikel ini.
  5. Recurring Savings - maksudnya mode simpanan anda. Letak ‘monthly’ kalau anda plan nak simpan secara bulanan. 

So cik Faz dah ada ke simpanan 1 juta?
 
Belummmm, kalau sekarang ni dah ada simpanan sejuta, memang saya pencen awal, biar duit sejuta tu pula yang bekerja untuk saya. Tinggal kutip dividen jer untuk belanja bulanan. Jadi marilah kita sama-sama berusaha untuk adakan dana persaraan yang bagus. Mudah-mudahan usaha kita di berkati Allah dan dengan limpah kurnia-Nya kita beroleh kejayaan.
 
Saya merupakan perunding unit amanah berlesen di bawah syarikat RHB Asset Management. Sekiranya anda ingin mendapatkan khidmat nasihat untuk memohon pembiayaan ASB atau ingin memulakan pelaburan Unit Amanah, klik jer link whatsapp saya dibawah. Saya sedia bantu.
 
Jom kita mulakan langkah pertama melabur unit trust RM200 sebulan.
 

 
*****
WhatsApp Cik Faz di sini.
RHB Asset Management (Shah Alam)
*****

No comments:

Post a Comment